
Aksi Haaland semasa perlawanan Liga Juara-Juara Kumpulan G antara Young Boys dan Manchester City di Stadium Wankdorf. – Foto AFP
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak meragui kemampuan penyerangnya, Erling Haaland selepas pemain itu menamatkan kemarau golnya ketika kelab itu menewaskan Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara pada Khamis.
Haaland, 23, menjaringkan gol buat pertama kali dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara dengan dua golnya itu membantu City memastikan kemenangan 3-1 ke atas kelab Switzerland berkenaan.
Haaland, yang mencipta beberapa rekod jaringan musim lalu, menambah satu lagi rekod pada perlawanan tersebut apabila mengatasi pencapaian Kylian Mbappe sebagai pemain termuda yang menjaringkan 37 gol dalam Liga Juara-Juara.
Pemain antarabangsa Norway itu mencapai kejayaan tersebut dalam hanya 33 perlawanan.



