Ramai sangka saya minta derma – Melati Zero

Ramai sangka saya minta derma – Melati Zero

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Saya bukan minta derma, saya berniaga. Kod imbasan QR yang dipaparkan itu adalah untuk memudahkan pembeli membuat bayaran,” tegas pelawak popular, Melati Zero atau nama sebenarnya Muhammad Syaiful Doli Sharif.

Melati, 38, tampil menyangkal dakwaan segelintir netizen yang menuduhnya mengambil kesempatan mengutip sumbangan orang ramai demi kepentingan peribadi menerusi sesi siaran langsung di media sosial.

Menurut anggota kumpulan Zero ini, aktiviti yang dilakukan sejak lima bulan lalu itu sebenarnya adalah inisiatif murni untuk membantu isterinya berniaga sambil beramal.

Menjelaskan perkara sebenar, Melati berkata, isterinya menjual nasi lemak dan pelbagai jenis kuih-muih setiap Isnin hingga Jumaat.

“Ramai yang salah faham dan sangka saya ambil derma. Sebenarnya, isteri saya menjual nasi lemak setiap Isnin hingga Khamis.

“Sesiapa yang mahu berinfak, mereka akan beli kuih atau nasi lemak itu melalui saya. Contohnya, ada pelanggan yang mahu membeli nasi lemak bernilai RM100.

“Mereka bayar kepada kami dan meminta supaya makanan itu diagihkan kepada pihak lain. Jadi, saya hanyalah penyampai amanah mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Melati berkata, setiap hari Jumaat, dia akan mengumpul tempahan infak itu untuk diagihkan ke lokasi sasaran di sekitar daerah Kudat termasuk masjid, surau, balai polis dan hospital.

“Sasaran kami adalah sembilan masjid dan tiga surau jika tempahan banyak.

“Saya buat video agihan itu pun sebagai bukti kepada pembeli bahawa amanah mereka sudah disampaikan, bukan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.

Tambahnya, harga nasi lemak RM2 yang dijual isterinya itu sebenarnya tidak memberikan keuntungan besar, malah dia sering menambah wang saku sendiri demi memastikan program sedekah itu berjalan lancar.

“Nasi lemak RM2 itu sebenarnya tak cukup kos, tapi saya kata pada isteri, tidak mengapa kita buat untuk sedekah. Kalau ada yang kurang, saya tambah guna duit sendiri.

“Jika ada lebihan duit pun, saya akan salurkan kepada anak-anak yatim dan saya mempunyai bukti resit agihan juga,” katanya.

Terdahulu, muncul persoalan yang ditimbulkan seorang netizen di Threads, yang mendakwa Melati meminta sumbangan menerusi siaran langsung di TikTok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top