Ramanan salur gaji, elaun hampir RM800,000 buat komuniti Sg. Buloh -“Bukan soal jumlah”

Ramanan salur gaji, elaun hampir RM800,000 buat komuniti Sg. Buloh -“Bukan soal jumlah”

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan tampil dengan inisiatif tersendiri apabila menyalurkan hampir RM800,000 daripada gaji dan elaunnya sejak 2023 bagi membantu komuniti setempat.

Memetik laporan daripada Bernama, sumbangan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif termasuk bantuan kepada golongan memerlukan serta sokongan kepada institusi masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Sebahagian daripada tanggungjawab

Menurut beliau yang juga Menteri Sumber Manusia, usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM65,200 telah diagihkan melibatkan masjid, surau, tokong, kuil dan gereja selain sumbangan infaq Jumaat serta pelbagai program sepanjang Ramadan.

Menariknya, program agihan bubur lambuk turut diteruskan dengan sebanyak 10,000 pek diagihkan di seluruh kawasan Parlimen tersebut, sekali gus memasuki tahun keempat penganjurannya.

Selain itu, sempena Aidilfitri, sebanyak 3,350 bakul makanan turut disalurkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

Artikel lain: Langkah penjimatan! KESUMA teliti, perluas amalan WFH sektor swasta – Ramanan

Bukan soal jumlah, tapi tanggungjawab

Dalam masa sama, program Ihya’ Ramadan yang dilaksanakan melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama agensi kerajaan turut menerima peruntukan sebanyak RM80,350.

Ramanan menegaskan bahawa usaha yang dilakukan bukan sekadar angka, tetapi lebih kepada komitmen berterusan dalam membantu masyarakat.

“Ini bukan soal jumlah, tetapi soal tanggungjawab. Apa yang dijanjikan sebelum ini perlu diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten,” katanya.

Scroll to Top