Ramasamy kurang kasih sayang – Fahmi

Ramasamy kurang kasih sayang – Fahmi

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menyindir saranan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P Ramasamy yang menggesa agar pengundi memboikot calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Menteri Komunikasi itu menyifatkan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sebagai kurang kasih sayang dan meminta partinya untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Alahai P Ramasamy. Saya rasa P Ramasamy kurang kasih sayang.

“Saya tak pasti sama ada parti beliau atau beliau sendiri telah mendaftar untuk masuk PN. Masuklah PN. Sebab ramai dalam PN itu yang saya percaya akan sayang dia,” katanya selepas melakukan lawatan di Pusat Media PRK Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ramasamy telah memulakan kempen dengan meminta pengundi di Kuala Kubu Baharu menolak Pakatan Harapan (PH).

Ramasamy berkata, gesaan itu sebagai pengajaran buat Kerajaan Persekutuan yang menurutnya tidak menunaikan janji kepada rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Fahmi dalam masa sama turut memaklumkan Umno dan Barisan Nasional (BN) telah melakukan perbincangan bagi memastikan gerak kerja parti MIC untuk sama-sama berkempen dalam PRK Kuala Kubu Baharu ini adalah mantap.

“Mereka (BN dan Umno) ada perbincangan hari ini dan esok untuk pastikan dari segi gerak kerja rakan-rakan MIC adalah mantap. Jadi saya nampak usaha itu adalah baik,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan pemimpin Pas tidak hadir membantu kempen calon daripada Bersatu, Khairul Azhari Saut dalam PRK Kuala Kubu Baharu atas faktor kekalahan yang akan dialami nanti.

“Agak menarik untuk meneliti boikot Pas ini sebab setakat ini kita tidak melihat mana-mana pemimpin utama Pas turun berkempen.

“Ini sudah masuk hari ketiga dan setakat ini kita lihat cuma pemimpin utama dari parti Bersatu yang banyak bercakap.

“Mengenai ketiadaan Pas ini untuk cuba jelaskan adalah Ahli Parlimen seperti (Datuk) Dr Radzi Jidin daripada Bersatu tapi ramai kalangan dalam pimpinan utama Pas seolah-olah boikot. Saya tak tahulah. Tapi saya ucapkan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd