Rambut pendek tak padam jiwa rock

Rambut pendek tak padam jiwa rock

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SIRI 2

“ROCK itu bukan sekadar jaket kulit atau rambut panjang. Rock sebenarnya datang daripada jiwa, ia lahir daripada semangat blues.”

Demikian tegas penyanyi vokal berbisa, Aweera saat diajak berbicara mengenai evolusi imej dan perjalanan seninya yang kini memasuki fasa lebih matang pada tahun ini.

Bagi pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norissham ini, persepsi masyarakat yang sering melabelkan pemuzik rock dengan imej selekeh atau ‘stagnan’ perlu dikikis.

Baginya, imej hanya hiasan luaran, manakala intipati sebenar anak seni terletak pada ‘roh’ yang ditiupkan dalam karya mereka.

Mengenang kembali keputusannya memotong rambut pendek sekitar dua tahun lalu, Aweera mengakui tindakan itu mengundang pelbagai reaksi daripada peminat setianya.

Ramai yang beranggapan identiti rock penyanyi itu akan ‘hilang’ bersama helaian rambut yang dipotong.

“Ramai peminat tanya, kenapa potong rambut? Dah tak nampak rock. Saya jelaskan baik-baik bahawa rock itu datang dari dalam, daripada jiwa. Ia bermula daripada blues.

“Blues pula adalah mengenai bagaimana tiga kord mampu membawa satu dunia, seperti yang pernah disebut oleh legenda, Jimi Hendrix.

“Ramai salah faham mengenai blues. Mereka ingat ia sekadar genre lagu, sedangkan blues itu adalah jiwa kita.

“Jika kita tidak ‘berkahwin’ dengan lagu itu dan menyerahkan jiwa sepenuhnya, karya itu akan jadi kosong tanpa rasa,” katanya.

Aweera menyifatkan imej rambut kerinting kembang dan celak mata ketika bersama kumpulan Mojo dahulu sebagai satu ‘trademark’ dan anugerah.

Namun, sebagai anak seni yang dinamik, dia enggan terperangkap dalam zon selesa yang sama selamanya.

Menyentuh soal gaya, penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Prime Domestic ini berpendapat bahawa rock sebenarnya adalah sebuah fesyen yang sangat luas dan berkelas.

Dia menolak tanggapan bahawa pemuzik rock tidak perlu mementingkan penampilan.

“Sebenarnya, rock itu mahal. Ia bukan bermaksud selekeh. Di Eropah, band seperti Kasabian atau 30 Seconds to Mars tampil dengan imej yang kemas dan sofistikated.

“Mereka pakai kot, gaya ala mafia Russia, tetapi tetap rock. Rock berkembang mengikut masa,” katanya.

Aweera turut mendedahkan bahawa dia sering merujuk kepada pengaruh besar seperti Led Zeppelin dan Aerosmith dalam menentukan gaya penampilannya.

Baginya, mengambil inspirasi daripada ikon dunia bukan satu kesalahan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada proses mencari karakter pentas yang kuat.

“Dulu imej saya ala 70-an dengan seluar ‘bell-bottom’ dan Converse. Di atas pentas, karakter saya banyak dipengaruhi oleh The Doors.

“Saya kaji persembahan mereka dan sesuaikan dengan diri saya sendiri supaya tidak kelihatan murah di mata penonton,” katanya.

Tahun ini Aweera melangkah dengan nota penuh sejarah apabila membuat penampilan pentas pertama tahun ini di konsert Drama Band, baru-baru ini.

Lebih menarik, persembahan itu menyaksikan penyatuan semula projek trio yang dianggotai bersama Aepul (Drama Band) dan Fiq Halim.

Projek yang dimulakan pada 2017 itu akhirnya dipersembahkan secara langsung buat pertama kali menerusi lagu Selamatkan Aku.

“Terus terang saya katakan, Aepul dan Fiq adalah sahabat seperjuangan. Bila Aepul hubungi saya sekitar sebulan lalu, saya terus setuju.

“Malah, jika ada tawaran lain pada waktu sama, saya sanggup tolak demi sahabat. Industri ini perlukan kesatuan, bukan persaingan ego,” katanya.

Sebagai senior dalam industri, Aweera tidak lokek berkongsi ilmu dengan generasi baharu, khususnya mereka yang membawa obor muzik rock dalam kalangan Gen Z.

Nama penyanyi Amir Masdi disebut sebagai antara figura yang memberi harapan baharu kepada kelestarian genre rock dalam budaya popular hari ini.

“Saya sentiasa menyokong Amir. Dia seorang yang sangat merendah diri.

Bila dia bertanya bagaimana mahu mendalami rock, saya beritahu dia, dengar blues, dengar Jimi Hendrix, Whitesnake dan Led Zeppelin. Itu asasnya.

“Walaupun dia asalnya dari genre pop, keberaniannya untuk beralih ke arah rock sangat saya kagumi. Zaman saya, Aepul dan Fiq mungkin sudah berlalu, jadi tugas kami sekarang adalah untuk kekal relevan dan menyokong generasi seterusnya,” katanya.

Menutup bicara, Aweera mengingatkan bahawa industri muzik akan terus berubah. Menjelang sedekad ke hadapan, landskap seni mungkin tidak lagi sama, namun baginya, selagi jiwa ‘blues’ itu masih kental dalam diri, muzik rock tidak akan pernah mati.

ESOK: Impak AI kepada industri muzik rock dan imbau pengalaman digam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top