khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024.
Ahmad Zahid berkata, ia adalah sejarah baru untuk Umno dalam mengangkat kedudukan orang asli bagi menghargai sumbangan masyarakat itu.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengambil maklum mengenai cadangan Umno Wilayah mengenai Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semasa PAU 2024.
“Cadangan Umno Wilayah supaya Jalan TAR dijadikan Zon Ekonomi dan Kebudayaan Bumiputera, saya bersama-sama Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Naib Presiden Umno) akan usulkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri agar pelaksanaan ini dapat dilakukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga bersetuju dengan cadangan Umno Siswa semasa ucapan wakilnya untuk menubuhkan Sekolah Politik.
“Kami bersetuju untuk Umno Siswa menubuhkan Sekolah Politik bermula daripada sekarang,” katanya.
Selain itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga memberikan khabar baik kepada Skuad Sabil yang berada di bawah Pergerakan Pemuda Umno.
“Saya selaku menteri yang menjaga Angkatan Pertahanan Awam (APM)dengan ini mengesahkan bahawa Skuad Sabil ahli APM dan elaun perkhidmatan akan diberikan,” katanya.
Dalam ucapan penggulungannya juga, Ahmad Zahid turut mendeklamasikan sebuah puisi kepada sahabat baiknya iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berada di Penjara Kajang.
Puisi bertajuk ‘Puisi Buat Sahabat’ itu juga mendatangkan sebak kepada rata-rata perwakilan yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




