Ramos sertai PSG secara pinjaman

Ramos sertai PSG secara pinjaman

LONDON – Penyerang Portugal, Goncalo Ramos menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dari Benfica secara pinjaman setahun dengan pilihan untuk dibeli, umum kelab juara Perancis itu.

Ramos yang merupakan graduan akademi kelab Portugal itu telah menjaringkan 19 gol dalam 30 perlawanan liga musim lalu.

Pada Piala Dunia 2022, dia menjaringkan hatrik dan melakukan satu umpanan gol dalam kemunculan pertamanya di peringkat antarabangsa ketika menang pada pusingan 16 terakhir ke atas Switzerland.

“Satu kebanggaan dan kegembiraan yang tidak ternilai apabila menyertai Paris Saint-Germain. Ia  salah satu kelab terbesar di dunia dengan salah satu skuad terbaik,” katanya dalam satu kenyataan oleh PSG.

Ramos adalah pembelian kelapan kelab Paris itu pada musim panas ini selepas kehadiran pertahanan Perancis, Lucas Hernandez dan penyerang Sepanyol, Marco Asensio.

PSG membuka kempen mempertahankan kejuaraan Ligue 1 dengan melayan kunjungan Lorient  padacSabtu ini tetapi permulaan kempen dibayangi dengan persoalan mengenai masa depan Kylian Mbappe.

Kapten Perancis itu masih berbaki setahun dalam kontraknya bersama PSG, yang mahu dia meninggalkan pasukan sekarang berbanding secara percuma pada musim panas akan datang.

Mbappe enggan menandatangani kontrak baharu dan PSG percaya dia sedia untuk berpindah ke Real Madrid tahun depan.

Kini Mbappe berlatih dengan pasukan simpanan dalam persiapan menghadapi musim baharu. – Agensi