Rampasan bas berakhir dengan seorang mangsa maut

Rampasan bas berakhir dengan seorang mangsa maut

Los Angeles: Rampasan bas sehingga menyebabkan kenderaan itu dikejar pasukan Polis Los Angeles pada awal Rabu, menyebabkan seorang maut dan seorang lelaki bersenjata ditahan.

Polis berkata, sejurus menerima panggilan mengenai tembakan dilepaskan ke atas sebuah bas pada 1 pagi, seorang lelaki bersenjata dilihat mengarahkan pemandu kenderaan itu melencong dari laluannya, menyebabkan beberapa penumpang keluar melarikan diri.

Rakaman menunjukkan beberapa kereta polis mengekori bas itu, yang memaparkan perkataan ‘Emergency’.

Seorang individu yang menunggang basikal merakam kejadian, manakala seorang lagi melakukan perkara sama ketika dia menaiki papan selaju.

Aksi mengejar berterusan selama lebih sejam, termasuk selepas pegawai melancarkan pancang untuk menusuk tayar bas itu hingga meninggalkan kesan asap.

Video kemudian menunjukkan pasukan Swat mengelilingi kenderaan itu dengan seorang pegawai menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan semua orang keluar dari bas berkenaan.

“Bas Metro 5858, ini LAPD. Anda dikelilingi. Keluar dengan tangan anda ke atas, satu demi satu,” kata pegawai.

Kelihatan pemandu itu duduk diam, sambil mengangkat tangan.

Seorang penumpang yang menurut polis ditembak pada masa kejadian, dibawa ke hospital tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.

Polis memuji pemandu kerana reaksi tenangnya ketika insiden rampasan itu, di mana dia menekan butang panik untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top