nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Tangkapan dan rampasan dadah besar-besaran di Kelantan bernilai jutaan ringgit sejak kebelakangan ini jelas membuktikan penguatkuasaan di lapangan sedang berjalan dengan berkesan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk DrMohamed Fadzli Hassan, turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan besar ini.
Tegasnya, tidak perlu ada persepsi negatif terhadap Kelantan kerana apa yang lebih penting ialah tindakan tegas dan hasil yang nyata.
“Kerajaan Kelantan memandang serius isu penyalahgunaan dadah yang mampu menghancurkan masa depan generasi.
“Kita menegaskan penguatkuasaan mesti diperkasakan secara konsisten oleh semua agensi berkaitan agar masalah ini dapat ditangani secara lebih menyeluruh,” katanya menerusi Facebook.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga sedar bahawa sebagai negeri yang berkongsi sempadan darat dengan negara jiran, Kelantan berdepan cabaran unik dengan aktiviti penyeludupan yang semakin licik.
Katanya, sempadan yang panjang, laluan tikus yang banyak serta sindiket antarabangsa memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan kerjasama pelbagai agensi di semua peringkat.
“Pada masa yang sama, kita tidak hanya berpeluk tubuh. Kita turut mengambil inisiatif melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan.
“Selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam, Kelantan akan terus konsisten, tegas dan berprinsip dalam mendukung segala usaha membanteras dadah.
“Kita yakin dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, Kelantan mampu menjadi model negeri bebas najis dadah meskipun berdepan cabaran sebagai pintu masuk utama di sempadan negara.
Terdahulu media melaporkan, polis Kelantan menahan pasangan suami isteri dan merampas 90 kilogram (kg) dadah jenis gamja bernilai RM3.1 juta di Kuala Krai dan Pasir Puteh, kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd