Rampasan dadah di Sabah meningkat 2 kali ganda, cecah RM6.56 juta

Rampasan dadah di Sabah meningkat 2 kali ganda, cecah RM6.56 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Usaha agresif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah narkotik di negeri ini membuahkan hasil apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah merekodkan rampasan dadah bernilai RM6.56 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu melonjak hampir dua kali ganda berbanding RM2.62 juta bagi tempoh sama tahun lalu dan peningkatan sebanyak RM3.94 juta, bukti keberkesanan gerak kerja dan risikan berterusan polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pencapaian itu adalah hasil komitmen berterusan pasukan polis dalam mengekang aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.

Katanya, peningkatan jumlah rampasan yang dicatatkan tahun ini juga membuktikan kesungguhan dan keberkesanan gerak kerja JSJN Sabah dalam menangani jenayah berkaitan dadah.

“Ini termasuk kerjasama risikan, serbuan strategik dan tindakan bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain.

“Harapan saya, pada tahun ini kita akan melipatgandakan lagi usaha untuk mencapai semua KPI yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan ,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Jauteh berkata, Bahagian Pelucuthakan Harta turut menunjukkan prestasi luar biasa dengan nilai sitaan mencecah RM8.29 juta bagi tahun 2025.

Katanya, angka itu jauh lebih tinggi berbanding RM1.05 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM7.23 juta atau 785 peratus.

“Dari aspek operasi, statistik menunjukkan penurunan kecil dalam jumlah kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu 8,170 kes pada tahun ini berbanding 8,173 kes pada tahun 2024, iaitu penurunan sebanyak 3 kes.

“Bagaimanapun, jumlah tangkapan meningkat sedikit, dengan 8,542 orang ditahan tahun ini, berbanding 8,517 orang tahun lalu iaitu peningkatan 25 orang,” katanya.

Jauteh berkata, dalam aspek pertuduhan pula, sebanyak 7,607 kes pertuduhan dikemukakan membabitkan kes bekalan, pemilikan dan Akta Racun, daripada jumlah 8,174 kes yang dibuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top