Ramsay Sime Darby ambil alih Manipal Hospital di Klang

Ramsay Sime Darby ambil alih Manipal Hospital di Klang

KUALA LUMPUR: Penyedia penjagaan kesihatan, Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) mengambil alih Manipal Hospitals, Klang di Selangor daripada Manipal Health Enterprises Pvt Ltd (MHEPL).

Langkah itu sekali gus menyaksikan hospital berkapasiti 220 katil itu akan menjalani proses penjenamaan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Raymond Chong, berkata pengambilalihan tersebut membolehkan pihaknya memanfaatkan peluang strategik untuk membuka lebih banyak nilai secara operasi melalui peluasan capaian RSDH.

“Bukan hanya Manipal Hospitals menjadi sebahagian rangkaian hospital kami malah ia akan disokong oleh Pusat Perubatan Subang Jaya sebagai pusat rujukan bersepadu di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan.

RSDH dimiliki secara saksama oleh Sime Darby Bhd dan Ramsay Health Care dari Australia.

Kedua-dua pihak mengambil alih kemudahan itu daripada anak syarikat milik penuh MHEPL, Manipal Health Enterprises International Pte. Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Hospital itu kini dilengkapi dengan lima bilik bedah serta 15 katil Unit Rawatan Kritikal (CCU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU). Ia juga mempunyai antaranya pengimbas MRI 1.5T, makmal pengkateteran dan perkhidmatan kecemasan 24 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata pengambilalihan oleh RSDH itu mengukuhkan kedudukannya dalam sektor penjagaan kesihatan yang sangat kompetitif dan sejajar dengan pertumbuhan yang dirancang bagi syarikat usaha samanya.

“Sime Darby akan terus menyokong usaha RSDH dalam prospek pertumbuhan organik dan bukan organik yang berdaya maju untuk memanfaatkan potensi besar sektor ini,” katanya.

Susulan pengambilalihan itu, RSDH kini memiliki empat hospital di Malaysia yang turut merangkumi Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Ara Damansara dan Pusat Perubatan ParkCity.

Ketiga-tiga pusat perubatan itu mendapat akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia dan Suruhanjaya Antarabangsa Bersama (JCI) .

RSDH juga mempunyai tiga hospital yang memperoleh akreditasi JCI di Indonesia dan Pusat Pembedahan Day di Hong Kong.

– Bernama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top