Penyanyi rap popular, Bunga, 25, mahu menumpukan perhatian kepada dunia seni sebelum merancang menimang cahaya mata dalam tempoh dua tahun akan datang.
Kata pemilik nama penuh Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari ini, perancangan itu dibuat kerana ingin memberi sepenuh komitmen terhadap kerjaya selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda.
“Saya dan suami memang merancang untuk ada anak dalam masa dua tahun. Namun, kalau sepanjang perjalanan ada rezeki awal, kami tidak akan menolak. Buat masa ini, keutamaan saya adalah muzik kerana ketika belajar saya tidak dapat beri fokus sepenuhnya.
“Cuma saya sendiri merancang begitu kerana masa belajar, jarang dapat keluarkan lagu. Jadi bila nak kembali aktif, ambil masa untuk ‘panas’ semula. Saya percaya dunia ini berputar, yang penting jangan putus asa,” jelasnya.
Mendirikan rumah tangga dengan komposer Amzar Sabri pada 2023, Bunga turut bersyukur kerana tidak berdepan tekanan daripada keluarga mahupun rakan-rakan mengenai soal zuriat.
“Setakat ini, tiada desakan daripada keluarga atau orang sekeliling. Kalau ada yang bertanya, saya akan jawab insya-Allah nanti. Sekarang saya mahu kukuhkan kerjaya muzik terlebih dahulu,” katanya kepada XTRA.
@xtra_my Bunga belanja sikit lagu Jalan Keluar yang dimuatkan dalam album terbaharunya yang berjudul ‘Seharum Nama’ di majlis pelancara koleksi kolaborasi Bunga x High Cultured 🌸 #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Bunga ditemui di majlis pelancaran kolaborasinya dengan High Cultured di Central i-City, Shah Alam, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Bunga melakar sejarah tersendiri apabila menjalin kerjasama dengan jenama streetwear terkemuka Malaysia, High Cultured, untuk melancarkan koleksi eksklusif Superstar.
Kolaborasi itu, menurut Bunga, amat bermakna kerana ia memberi peluang kepadanya menghasilkan merchandise pertama sepanjang lima tahun bergelar penyanyi rap.
“Alhamdulillah, teruja sangat bila High Cultured sudi bekerjasama dan keluarkan pelbagai rekaan seperti jaket, sweater, jersi, bandana serta topi. Koleksi ini istimewa kerana ia bukan sekadar pakaian, tapi sebahagian daripada perjalanan saya dalam hip-hop tempatan bermula pada tahun 2019.
“Dalam koleksi ini, ada nombor 19 yang ditampilkan. ‘19’ pada koleksi kolaborasi ini melambangkan tahun saya mula berdiri di pentas sebagai penyanyi,” jelasnya.
Dengan rekaan oversized, sulaman premium dan keselesaan uniseks, koleksi ini dicipta untuk menjadi simbol keyakinan dan ekspresi diri, sama seperti muzik yang dibawa Bunga.
Pengarah Kreatif High Cultured, Kazuya Higa, berkata kerjasama dengan Bunga adalah satu bentuk penghormatan kepada generasi baru yang berani tampil berbeza.
“High Cultured sentiasa lebih daripada sekadar pakaian. Ia adalah budaya. Bekerjasama dengan Bunga bermakna meraikan semangat generasi yang berani berdiri teguh dan bersuara. Koleksi Superstar ini adalah simbol kebanggaan dan sikap itu,” katanya.



