Rancangan integrasi terminal KLIA dipercepatkan

Rancangan integrasi terminal KLIA dipercepatkan

Kuala Lumpur: Pelan Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipercepat bagi memastikan ketersambungan berterusan penumpang dan bagasi antara kedua-dua terminal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata, pengintegrasian itu antaranya melibatkan pembangunan kemudahan kebolehcapaian antara dua terminal itu seperti kemudahan pengangkutan bas dalam kawasan larangan (airside) bagi penumpang dan bagasi, yang bakal dibangunkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sehubungan itu, beliau meminta syarikat-syarikat penerbangan bekerjasama untuk merealisasikan perkara berkenaan dalam usaha meningkatkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan serantau.

“Kita mahu syarikat-syarikat penerbangan ini jangan tertumpu kepada persaingan sahaja. Kita tidak melihat kepada mainan campur-tolak (zero-sum game) tetapi lebih kepada kepentingan negara, bagaimana meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai satu hab penerbangan serantau yang penting.

“Saya harap menjelang tahun depan, perkara ini boleh direalisasikan, sebab apa yang kita minta tidak ada tambahan secara besar dari segi infrastruktur tetapi lebih kepada penambahbaikan sistem dan ia tidak perlu infrastruktur besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) di sini, hari ini.

Loke berkata, pelan itu juga mungkin akan melibatkan prosedur imigresen dan kastam namun perlu dibincangkan terlebih dahulu dan perinciannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan.

Beliau juga menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya idea pengintegrasian itu yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan dan pengurusan MAHB serta menafikan ia dipengaruhi kehendak politik (political will).

“Malah saya telah menggesa (pengintegrasian) ini banyak kali sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Loke berkata, tindakan susulan lain turut diputuskan dalam mesyuarat yang sama untuk menyelesaikan beberapa isu seperti kajian semula pelaksanaan Green Lane bagi menyelesaikan masalah kesesakan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

Turut dibincangkan penambahbaikan pengurusan slot di lapangan terbang oleh Koordinasi Slot Negara Malaysia (NSCM) selain penubuhan pasukan petugas bagi projek penggantian sistem menangani bagasi (BHS) untuk memantau kemajuan pelaksanaannya menerusi pelaporan berkala kepada kementerian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top