Rancangan Kedah sekat bekalan air P Pinang ibarat isytihar perang, kata pemimpin

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
(Dari kiri) Lim Guan Eng marah dengan rancangan takungan air Muhammad Sanusi Md Nor, sementara Charles Santiago menyifatkannya sebagai pengisytiharan perang terhadap Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Rancangan kerajaan Kedah mengurangkan bekalan air ke Pulau Pinang dengan membina takungan air besar di sepanjang Sungai Muda disifatkan pengisytiharan perang dan satu bentuk balas dendam politik.

Lim Guan Eng berkata, keputusan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, penuh dengan balas dendam politik terhadap negeri pimpinan DAP itu, manakala bekas ketua Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago mendakwa beliau cuba mensabotaj kesihatan dan ekonomi penduduk Pulau Pinang.

Terdahulu, Sanusi hari ini dilaporkan berkata, 14 takungan air akan dibina di sepanjang Sungai Muda untuk memastikan air mencukupi bagi penduduk Kedah dan penanam padi di sepanjang sungai.

Kira-kira 80% sumber air Pulau Pinang diekstrak dari bahagian sungai yang mengalir di wilayah Pulau Pinang.

“Dengan mengugut mengurangkan air kepada 1.7 juta orang Pulau Pinang, dan itu juga datang daripada rakyat Malaysia seperti Sanusi, menjadikan ini bahaya yang jelas dan nyata bagi penduduk Pulau Pinang,” kata Lim.

Katanya, berdasarkan logik Sanusi yang Sungai Muda milik Kedah, maka Kedah perlu membayar ganti rugi kepada Pulau Pinang setiap kali sungai itu melimpah ke Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, projek takungan air itu adalah satu lagi projek mega, seperti projek penerokaan elemen nadir bumi bernilai RM68 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang berkata, pengumuman Sanusi itu sama seperti pengisytiharan perang terhadap Pulau Pinang.

Katanya, SPAN perlu bertindak segera kerana ia adalah tanggungjawab statutorinya untuk memastikan bekalan air mengalir bebas di Pulau Pinang, dan menghentikan rancangan Sanusi daripada diteruskan.

“Kenapa Kedah mengisytihar perang terhadap Pulau Pinang? Ini ialah tindakan sabotaj kerana ia akan memudaratkan keselamatan dan kesihatan penduduk Pulau Pinang. Ketika darurat, kerajaan perlu menahan beliau (Sanusi).

“SPAN perlu bertindak sebagai penimbang tara dan tidak membiarkan projek seperti itu diteruskan kerana ia akan memberi kesan kepada semua industri dan pengguna di Pulau Pinang,” katanya sambil menambah air sangat penting untuk kegunaan industri dan tujuan sanitasi.

Beliau memberi amaran individu dan syarikat boleh mengambil tindakan terhadap Sanusi.

Charles berkata, apa yang diumumkan Sanusi seakan-akan Horas, atau Hybrid Off-River Augmentation System, yang dilaksanakan di Selangor.

Katanya, kolam penyimpanan air mentah itu bertujuan menakung air dari sungai ketika ia melimpahi tebing dan untuk disalirkan semula ke sungai ketika kemarau.

“Sebagai menteri besar, dan pengerusi Syarikat Air Darul Aman, beliau tidak tahu apa yang dicakapkannya. Atau mungkin beliau menerima nasihat yang salah,” katanya.

FMT menghubungi Sanusi untuk mendapatkan komennya.