Rangers Dikecam UEFA: Kain rentang rasis Cemar nama baik kelab

Rangers Dikecam UEFA: Kain rentang rasis Cemar nama baik kelab

Glasgow: Pasukan Rangers berasa “malu” selepas dikenakan tuduhan oleh UEFA berhubung kain rentang rasis atau diskriminasi yang dipamerkan penyokong mereka dalam perlawanan Liga Europa minggu lalu menentang Fenerbahce.

Kain rentang yang tertulis: “Keep woke foreign ideologies out – defend Europe” (Hentikan ideologi asing yang bercanggah – pertahankan Eropah) dinaikkan oleh penyokong ketika Rangers mara ke suku akhir selepas menang menerusi sepakan penalti menentang gergasi dari Turki itu pada hari Khamis lalu.

Kelab Scotland itu turut dikenakan beberapa tuduhan lain oleh UEFA, termasuk membaling objek dan menyekat laluan.

“Untuk kelab dikenakan tuduhan sebegini pada tahun 2025 adalah memalukan, dan rasa tidak puas hati terhadap mereka yang bertanggungjawab akan dikongsi oleh majoriti besar penyokong kami.

“Tuduhan ini akan membawa kesan kepada kelab, sementara kelab juga sedang berusaha untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab dan akan memastikan mereka turut menghadapi akibatnya.

“Bagi mengelak sebarang kekeliruan, jika anda tidak percaya bahawa pada tahun 2025 setiap orang adalah dialu-alukan untuk menyokong Rangers sama ada di Ibrox atau di tempat lawan, maka Rangers bukan kelab untuk anda, dan anda seharusnya memutuskan hubungan dengan kelab ini segera,” kata Rangers dalam satu kenyataan.

Rangers juga mengkritik “dua individu” yang menggunakan bahan letupan selepas kemenangan liga Ahad lalu menentang pesaing setempat, Celtic, yang boleh memberi kesan kepada peruntukan tiket pada masa depan.

Finalis Liga Europa 2022 itu akan berdepan dengan Athletic Bilbao dalam suku akhir Liga Europa bulan depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top