Paris: Rangers tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah selepas kalah 0-2 kepada Dynamo Kyiv dalam perlawanan kedua pusingan kelayakan ketiga, sementara Fenerbahce di bawah kendalian Jose Mourinho juga gagal layak ke saingan utama.
Rangers terpaksa membayar harga mahal akibat kad kuning kedua yang diberikan kepada pertahanan Jefte ketika Dynamo menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir melalui pemain gantian Oleksandr Pikhalonok dan Nazar Voloshyn.
Jurulatih Rangers, Philippe Clement, mengecam keputusan pengadil yang menyebabkan pasukannya bermain dengan 10 pemain.
“Susah untuk pasukan saya. Mereka tidak layak menerima ini selepas dua perlawanan menentang Dynamo Kyiv. Seorang individu dengan satu keputusan mengubah keadaan kami dengan sangat besar,” kata Clement kepada BBC Scotland.
“Ia kali kedua dalam kerjaya saya selama lebih 30 tahun sesuatu yang tidak adil berlaku. Kami hanya boleh menerimanya dan bergerak ke hadapan menumpukan kepada liga dan Liga Europa.”
Clement, yang ingin membina semula skuadnya untuk mencabar Celtic, berkata kekalahan itu akan memberi kesan besar kepada kewangan kelab.
“Dari segi kewangan, ia adalah perbezaan besar untuk kelab. Ia akan memberi kesan kepada pemindahan yang akan datang juga. Saya tidak menjangkakan pembinaan semula ini akan selesai dalam beberapa minggu.”
Dynamo dari Ukraine melangkah ke pusingan playoff dengan agregat 3-1 dan akan bertemu Salzburg, yang menewaskan FC Twente 5-4 selepas seri 3-3 dalam perlawanan kedua di Belanda.
Penalti Jonathan David memastikan Lille mara ke pusingan seterusnya selepas kelab Perancis itu meraih kemenangan agregat 3-2 di Turkiye, menandakan permulaan yang mengecewakan bagi Mourinho di Fenerbahce.
Fenerbahce kalah dalam perlawanan pertama 1-2 minggu lalu dan kelihatan akan tersingkir sehingga gol sendiri lewat permainan dari Bafode Diakite membawa perlawanan ke masa tambahan.
Pemain gantian Lille, Aissa Mandi, dibuang padang pada penampilan pertamanya kerana kekasaran ke atas Irfan Can Kahveci, tetapi pelawat dianugerahkan penalti kerana bola terkena tangan Jayden Oosterwolde dan David tidak membuat kesilapan dari tempat sepakan penalti.
Cenk Tosun kemudian menanduk bola terkena palang gol ketika Lille bertahan.
Ganjaran mereka adalah pertemuan dengan Slavia Prague, yang menang agregat 4-1 ke atas Union Saint Gilloise.
Slovan Bratislava, yang memasuki pusingan kelayakan pertama, menewaskan APOEL Nicosia 2-0 dalam dua perlawanan.
Mereka akan bertemu Midtjylland untuk merebut tempat dalam kejohanan baru yang mempunyai 36 pasukan selepas juara Denmark itu mengalahkan Ferencvaros dari Hungary dengan agregat 3-1.
Juara Norway, Bodo/Glimt, melangkah mudah dengan kemenangan 4-1 ke atas Jagiellonia Bialystok dari Poland, menamatkan kemenangan agregat 5-1.
Malmo dari Sweden memenangi perlawanan mendebarkan menentang PAOK, menjaringkan gol lewat di Greece untuk memaksa masa tambahan dan kemudian memenangi perlawanan kedua 4-3 menang 6-5 secara keseluruhan.
Sparta Prague menewaskan FCSB dari Romania dengan agregat 4-3, manakala Qarabag mengejutkan Ludogorets empat gol dalam masa tambahan untuk meraih kemenangan luar biasa 7-2 di Bulgaria.
Pemain antarabangsa Switzerland, Kwadwo Duah, menjaringkan dua gol untuk meletakkan Ludogorets mendahului 4-2, tetapi pelawat dari Azerbaijan menjaringkan enam gol tanpa balas untuk meraih kejayaan agregat 8-4.
© New Straits Times Press (M) Bhd




