Rangka bayi ditemui tertanam di laman rumah

Rangka bayi ditemui tertanam di laman rumah

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Polis menemui rangka bayi yang dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu, tertanam di laman sebuah rumah di Kelemak di sini, hari ini.

Penemuan itu sekali gus menggemparkan penduduk perumahan setingkat berkenaan yang masih dalam suasana Syawal.

Seorang lelaki ditemui berkata, dia terkejut apabila kawasan perumahan itu tiba-tiba dipenuhi pasukan polis bermula kira-kira 9 pagi.

“Saya datang ke sini (perumahan itu) untuk beraya di rumah kakak dan terkejut apabila diberitahu ada pasukan forensik polis datang kerana kes jenayah.

“Pada awalnya saya sangka kes biasa, namun jiran memaklumkan polis menemui rangka bayi yang dipercayai ditanam sebaik sahaja dilahirkan kira-kira empat bulan lalu,” katanya ketika ditemui.

Dia juga tidak menyangka teres satu tingkat itu menjadi lokasi jenayah memandangkan persekitarannya sunyi dan lokasi itu berhadapan dengan rumah kosong.

Ujarnya, kakaknya memaklumkan anggota polis menggali tanah di laman sebuah rumah dan hanya beredar dari lokasi kira-kira 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Polis Melaka dijangka akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung penemuan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top