Rangka manusia ditemui di kebun kelapa sawit

Rangka manusia ditemui di kebun kelapa sawit

am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Polis mengesahkan penemuan rangka manusia yang ditemui di Jalan Saring, Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan dari seorang lelaki warga tempatan pada jam 11.12 pagi.

“Lokasi kejadian adalah kebun kelapa sawit yang dianggarkan jaraknya satu kilometer dari jalan utama serta berjarak 200 meter dari pesisir Pantai Siput Kampung Bumi Hijau, Sungai Air Tawar.

“Pengadu yang menemui rangka manusia itu sekitar jam 10.30 pagi,” katanya ketika dihubungi.

Md Yusof berkata, Pasukan Patalogi, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor juga dipanggil ke tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat atau mempunyai ahli keluarga yang hilang diminta tampil Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top