Rangka mayat reput ditemukan di kebun getah

Rangka mayat reput ditemukan di kebun getah

am@hmetro.com.my

Baling: Satu rangka manusia yang reput dan masih lengkap berpakaian ditemukan di kebun getah di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, pagi semalam.

Rangka itu ditemukan seorang lelaki 43 tahun yang ketika itu menoreh getah di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berkenaan pada 11 pagi berhubung penemuan rangka berkenaan di sebelah pagar tempat dia menoreh.

Beliau berkata, pengadu turut menemukan motosikal SYM biru kira-kira 25 meter dari tempat rangka itu ditemukan.

Katanya, bertindak atas laporan polis pada 11.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis tiba di lokasi dan melakukan siasatan di tempat kejadian.

“Rangka manusia itu ditemukan dalam keadaan terlentang dan kakinya berada di atas tin kosong berwarna putih, serta terdapat sebilah pisau di sebelah kiri rangka si mati.

“Hasil semakan rekod orang hilang (OH) ke atas si mati didapati terdapat, satu laporan polis dibuat oleh isteri si mati pada 29 Ogos lalu.

“Menurut isteri si mati, suaminya keluar rumah sejak 24 Ogos lalu dan tidak pulang selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Salimi berkata, pengecaman mayat kemudian dibuat oleh wanita itu dan anaknya iaitu anak tiri di mati berdasarkan pakaian serta motosikal si mati di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

“Setakat ini, siasatan dilakukan di bawah mati mengejut (SDR),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top