Rom: Claudio Ranieri merayu penyokong AS Roma untuk terus memberi sokongan penuh dalam usaha terakhir pasukan itu merebut tempat ke Liga Juara-Juara apabila saingan Serie A menutup tirai hujung minggu ini.
Pengendali berusia 73 tahun itu menerima penghargaan penuh emosi pada aksi terakhir di Stadio Olimpico ketika Roma menundukkan AC Milan 3-1 termasuk paparan tifo khas yang menyifatkannya sebagai “Seorang pemimpin agung… Romanista sejati.”
Ranieri kembali daripada persaraan pada November lalu dan berjaya menyelamatkan kelab zaman kanak-kanaknya daripada zon penyingkiran untuk kini berada di ambang kejayaan luar jangka menamatkan musim dalam kelompok empat teratas Serie A.
“Ia sesuatu yang indah kerana dihargai oleh penyokong sendiri adalah perkara yang sangat bermakna,” kata Ranieri dalam nada sebak.
“Saya percaya kepada mereka kerana ketika saya tiba, semangat mereka benar-benar di tahap paling rendah dan keyakinan diri hampir tiada. Perlahan-lahan kami mendaki semula gunung itu. Kami mencatat 19 perlawanan tanpa kalah ia satu tempoh yang sangat penting.”
Roma akan berkunjung ke laman Torino hujung minggu ini, manakala Juventus yang hanya satu mata di hadapan di tempat keempat, akan berdepan pasukan bergelut di zon penyingkiran, Venezia.
“Kami perlukan kasih sayang anda,” kata Ranieri kepada penyokong.
“Saya pernah bersama anda 60 tahun lalu di tempat duduk penyokong. Saya minta bantuan anda, kini kami perlukan langkah terakhir itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




