London: Sukan skuasy memuktamadkan prosedur kelayakan bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028, yang bakal menjadi penampilan sulung acara itu di pentas Olimpik, menurut badan induknya, World Skuasy Dunia.
Saingan skuasy di Olimpik 2028 akan menampilkan acara lelaki dan wanita dengan 16 pemain bagi setiap kategori.
Skuasy Dunia memaklumkan, kelayakan bagi kedua-dua acara akan ditentukan berdasarkan kedudukan ranking dunia, kejayaan di temasya benua, selain satu slot universality, satu tempat tuan rumah, serta satu slot menerusi pemenang kejohanan kelayakan terakhir.
Amerika Syarikat selaku tuan rumah akan memperoleh satu tempat, manakala lapan slot lagi ditentukan berdasarkan ranking Persatuan Skuasy Profesional (PSA) setakat 22 Mei 2028.
Satu slot universality akan diberikan kepada atlet daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan yang kurang diwakili, sebagai usaha meningkatkan kepelbagaian negara yang bertanding.
Sebanyak lima slot kelayakan akan ditawarkan menerusi temasya benua dalam tempoh 18 bulan akan datang, bermula dengan Sukan Asia di Nagoya, Jepun, pada Oktober, diikuti Sukan Afrika di Kaherah pada Januari depan, serta Sukan Eropah di Istanbul, Sukan Pasifik di Tahiti dan Sukan Pan Amerika di Lima, yang semuanya dijadualkan berlangsung pertengahan 2027.
Satu slot terakhir pula akan ditentukan menerusi kejohanan kelayakan akhir membabitkan 24 pemain yang dijadualkan berlangsung pada Jun 2028, kira-kira enam minggu sebelum bermulanya Olimpik Los Angeles.
Secara prinsipnya, setiap negara hanya dibenarkan seorang pemain bagi setiap kategori, namun maksimum dua pemain boleh layak, sekali gus bermakna ramai pemain terbaik dunia berkemungkinan terlepas peluang beraksi di Olimpik.
Mesir ketika ini mempunyai tujuh pemain dalam kelompok 16 terbaik ranking lelaki terkini dan lapan pemain dalam ranking wanita, termasuk empat daripada lima pemain teratas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



