Ranking FIFA Malaysia berisiko jatuh tanpa perlawanan persahabatan

Ranking FIFA Malaysia berisiko jatuh tanpa perlawanan persahabatan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketiadaan aksi persahabatan pada jendela antarabangsa bulan depan boleh menjadi ‘tamparan’ buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila skuad Harimau Malaya berisiko tercicir mata ranking dunia selain terlepas peluang penting menguji kekuatan menjelang saingan Piala Asean.

Apa yang lebih mencetus persoalan, hanya tinggal kira-kira seminggu sebelum kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dibuka dari 1 hingga 9 Jun depan, namun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada FAM mengenai perancangan skuad kebangsaan.

Malah, laman media sosial Seasia Goal turut mendakwa Malaysia dan Vietnam antara pasukan Asia Tenggara yang tidak mempunyai aksi persahabatan pada jendela FIFA kali ini.

Situasi itu jelas berbeza dengan beberapa negara jiran lain yang sudah mempunyai jadual tersusun apabila pasukan Indonesia dijadual menentang Oman dan Mozambique, manakala Thailand pula bertemu Kuwait serta China, sementara Singapore bakal berdepan Mongolia dan China.

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang merugikan buat Harimau Malaya terutama dalam usaha memperbaiki ranking FIFA.

“Kalau benar tiada perlawanan persahabatan, memang rugi besar buat pasukan negara kerana setiap aksi dalam kalendar FIFA boleh memberi mata ranking.

“Bila tiada perlawanan, ranking mungkin kekal atau lebih buruk boleh jatuh sebab negara lain terus bermain dan mengutip mata.

“Sepatutnya peluang ini digunakan untuk mencuba pemain baharu atau memperkuatkan pasukan bagi persediaan jangka panjang, tetapi mungkin FAM ada kekangan tertentu untuk mengatur perlawanan,” katanya.

Ketika ini, skuad negara berada di tangga ke-138 dunia dan sebarang aksi persahabatan pada Jun sepatutnya mampu menjadi medan terbaik menambah mata ranking selain mempersiapkan pasukan menghadapi Piala AFF pada Julai hingga Ogos depan.

Untuk kempen itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama musuh tradisi Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali turut mengakui Harimau Malaya bakal kerugian sekiranya jendela FIFA kali ini berlalu tanpa sebarang aksi.

“Sudah tentu rugi kalau peluang itu tidak digunakan, tetapi saya percaya jurulatih dan pengurusan skuad kebangsaan mungkin sudah ada perancangan mereka sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top