Ranking FIFA: Malaysia jatuh 17 anak tangga ke kedudukan 138 dunia

Ranking FIFA: Malaysia jatuh 17 anak tangga ke kedudukan 138 dunia

KEDUDUKAN Malaysia menjunam daripada tangga ke-121 ke tangga ke-138 dunia dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemas kini terbaharu hari ini, Harimau Malaya yang mengumpul 1,086.22 mata keseluruhan jatuh 17 anak tangga susulan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, semalam.

Kejatuhan mendadak itu turut dipengaruhi keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua perlawanan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan berdepan Nepal dan Vietnam sebelum ini.

Berdasarkan keputusan asal, Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac tahun lepas, selain membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, pada 17 Mac lepas, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan selepas Harimau Malaya didapati menurunkan pemain tidak layak.

Tindakan itu dibuat susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – Bernama

Ringkasan AI

  • Kedudukan Malaysia jatuh dari tangga ke-121 ke-138 dunia dalam ranking FIFA.
  • Malaysia turun 17 anak tangga selepas kalah kepada Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027.
  • AFC membatalkan dua kemenangan Malaysia ke atas Nepal dan Vietnam.
  • Malaysia diisytiharkan kalah 0-3 untuk kedua-dua perlawanan kerana menurunkan pemain tidak layak.
  • Isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain Harimau Malaya ditemui.
Scroll to Top