mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia kekal di kedudukan ke-121 dunia dalam ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarbangsa (FIFA), hari ini.
Kemas kini terbaharu itu menyaksikan skuad Harimau Malaya masih berada satu anak tangga di atas seteru serantau, Indonesia yang turut kekal berada di kedudukan ke-122.
Thailand yang berada di kedudukan ke-96 dunia mengekalkan kedudukan mereka selaku pasukan nombor satu Asia Tenggara, manakala Vietnam jatuh satu anak tangga ke kedudukan 108 susulan prestasi cemerlang Comoros dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Filipina dan Singapura pula masing-masing kekal sebagai pasukan keempat dan kelima terbaik di ASEAN dengan menghuni kedudukan ke-136 dan ke-148 dunia.
Pada kemas kini ranking FIFA bulan lalu, skuad Harimau Malaya yang dikendalikan Peter Cklamovski jatuh lima anak tangga apabila menghuni kedudukan ke-121 dunia.
Ia susulan keputusan badan induk bola sepak dunia itu membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan Malaysia berdepan dengan Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan pasukan lawan diberikan kemenangan 3-0 dalam aksi terbabit.
Hukuman itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas Harimau Malaya didapati menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan berkenaan.
Berdasarkan keputusan asal perlawanan itu, Malaysia seri 1-1 berdepan Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 29 Mei lalu, menang 2-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (4 September) dan menewaskan Palestin 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim (8 September).
Hukuman sama dijangka diambil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membabitkan dua aksi Harimau Malaya menentang Nepal dan Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini.
Pada September tahun lalu, FIFA mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen.
FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,411) serta digantung selama 12 bulan yang mana kes berkenaan masih belum selesai dengan FAM sudah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




