Ranking Harimau Malaya terus merudum

Ranking Harimau Malaya terus merudum
Ranking Harimau Malaya terus merudum

Skuad negara tewas kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia.

KEDUDUKAN skuad Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka terus merosot susulan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F, kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, pada Selasa.

Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman web rasmi FIFA, Malaysia yang sebelum ini menghuni tangga ke-135 dunia jatuh tiga anak tangga lagi ke kedudukan 138.

Rekod menunjukkan kali terakhir skuad negara berada di kedudukan ke-138 dunia adalah pada 4 April 2024.

Sebelum ini, Malaysia mengalami kejatuhan mendadak daripada kedudukan ke-116 ke tangga ke-121 pada Disember tahun lalu selepas FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.

Keputusan tersebut menyaksikan kemenangan percuma 0-3 diberikan kepada pasukan lawan sebagai sebahagian daripada hukuman berat FIFA berhubung skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain yang disahkan tidak sah.

Kemelut itu berterusan apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam dan Nepal yang turut menggunakan khidmat pemain terbabit.

Rentetan daripada pemotongan mata itu, ranking Malaysia menjunam dari 121 ke 135 dunia dan kini menghuni tangga ke-138 dunia selepas tunduk kepada skuad Naga Emas.

Ringkasan AI

  • Kedudukan skuad Harimau Malaya jatuh ke ranking 138 dunia selepas tewas kepada Vietnam.
  • Malaysia sebelum ini di tangga ke-135 dan kini jatuh tiga tangga lagi.
  • Kali terakhir Malaysia berada di kedudukan ke-138 adalah pada 4 April 2024.
  • Keputusan tiga perlawanan persahabatan dibatalkan oleh FIFA menyebabkan kejatuhan ranking.
  • Kemelut berterusan dengan tindakan AFC terhadap perlawanan menentang Vietnam dan Nepal.
Scroll to Top