mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemotongan mata sehingga menyebabkan ranking Harimau Malaya merudum adalah sesuatu yang terpaksa diterima oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun fokus utama kini adalah memandang ke hadapan dan memberi tumpuan penuh terhadap kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, pihaknya menghormati keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menjatuhkan hukuman terhadap badan induk itu baru baru ini.
“Hukuman pemotongan mata hingga menyebabkan ranking Malaysia turun adalah perkara yang terpaksa FAM terima dan hormati keputusan FIFA yang menjatuhkan hukuman baru-baru ini. Apa yang boleh kita buat adalah memandang ke depan dan memberi tumpuan kepada kes CAS,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum itu, seperti dijangka, hukuman yang dikenakan FIFA itu memberi kesan besar terhadap kedudukan ranking dunia skuad Harimau Malaya yang kini terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia.
Kemas kini terbaharu ranking FIFA yang diumumkan semalam menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski tergelincir lima anak tangga apabila kini menghuni kedudukan ke 121 dunia.
Kedudukan itu menyaksikan Malaysia hanya satu anak tangga di hadapan seteru serantau, Indonesia yang berada di ranking ke 122 dunia.
Penurunan ranking itu berlaku susulan keputusan FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan membabitkan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Dalam ketiga-tiga aksi terbabit, Malaysia dianggap tewas 0 3, sekali gus menyebabkan skuad kebangsaan kehilangan mata ranking yang signifikan.
Secara keseluruhan, Harimau Malaya kini mengumpul 1145.89 mata, menyusut kira kira 22 mata berbanding 1168 mata ketika berada di kedudukan ke 116 dunia sebelum ini.
Selain kedudukan ranking, hukuman itu turut menyebabkan rekod tanpa kalah yang dilakar Malaysia sepanjang tahun ini turut lebur.
Dalam kemas kini sama, Cape Verde mencatat peningkatan satu anak tangga untuk berada di ranking ke 68 dunia.
Singapura pula melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ke 148 dunia, manakala Palestin naik satu anak tangga ke ranking ke 95 dunia.
Meskipun berdepan tekanan hebat susulan kejatuhan ranking, FAM kekal berpendirian untuk menghormati keputusan FIFA sambil berharap proses rayuan di CAS mampu memberi sinar baharu kepada masa depan bola sepak negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




