am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Beberapa kampung di kawasan penempatan rendah di sini, mula dilanda banjir sejak malam tadi.
Antara penempatan di sini yang dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.8 meter ialah Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol, Kampung Putat Tujuh, Kampung Kusar dan Kampung Lachang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihaknya membuat tinjauan berkala selama 24 jam terutama di kawasan yang dilanda banjir di samping memberi nasihat kepada penduduk supaya bersedia untuk berpindah.
“Jika hujan berterusan, dijangkakan akan ada beberapa penempatan lagi yang turut dinaiki air. Justeru, pihak kami sudah bersiap siaga untuk melakukan misi membantu dan menyelamat penduduk yang terbabit.
“Mereka yang tinggal berdekatan sungai atau kawasan rendah juga dinasihatkan peka dengan paras air selain mengambil langkah awal untuk berpindah terutama bagi yang tinggal di penempatan yang sukar untuk diakses masuk,”‘ katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shapawi berkata, pekan Rantau Panjang masih bebas banjir dengan kesemua jalan masuk masih boleh dilalui dan bah yang berlaku hanya di kawasan perkampungan sahaja.
“Mengikut pengalaman tahun sebelum ini, gelombang pertama bukanlah banjir yang besar tetapi kami sebagai anggota bomba sentiasa bersedia kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dan tidak dapat dijangka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




