Raof pemangku Ketua Umno Kota Raja selepas Tengku Zafrul lepas jawatan

Raof pemangku Ketua Umno Kota Raja selepas Tengku Zafrul lepas jawatan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Raof Mokhtar kini menjadi Pemangku Ketua Umno Bahagian Kota Raja secara automatik selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melepaskan jawatan itu dan meninggalkan parti akhir bulan lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, Umno Selangor akan menghantar surat rasmi kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Tertinggi parti berhubung perkara itu.

“Saya bangga dengan saudara Raof sebagai Timbalan Ketua Bahagian, serta Naib Ketua Bahagiannya dan ketiga-tiga pemimpin sayap dan keseluruhan jawatankuasa sayap masing-masing akan meneruskan perjalanan aktiviti Umno Kota Raja seperti biasa.

“Dan yang lebih menggembirakan, (malam) tadi dapat kita saksikan Umno Kota Raja tidak ada satu cawangan pun yang ditutup,” katanya dalam sidang media menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Sayap-Sayap Umno Selangor 2025 di sini malam tadi.

Megat turut mengulas ketika ditanya sama ada Raof akan diangkat sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Raja selepas ini.

“Itu tunggu masa pemilihan. Selagi belum masa pemilihan, kita akan ada pemangkuan Ketua Umno Bahagian yang selalu akan diisi oleh Timbalan Ketua Bahagian,” katanya.

Pada masa sama katanya, beliau tidak mahu melihat isu membabitkan Tengku Zafrul menjadi gangguan sehingga menyebabkan Umno Selangor tidak boleh bergerak ke mana-mana.

“Siang tadi (semalam) saya bertemu dengan beliau (Tengku Zafrul) dalam majlis yang diadakan di Matrade.

“Kita tidak ada masalah hubungan, persahabatan macam biasa tapi prinsip partinya berbeza soal perkara kedua tapi Umno Selangor tidak boleh terganggu dengan keputusan ini,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, media melaporkan Tengku Zafrul menghantar surat peletakan jawatan dalam Umno untuk menyertai PKR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top