Rapat dengan Fattah kerana kerja – Amira

Rapat dengan Fattah kerana kerja – Amira

Mohamadridzuan@hmetro.com.my 

ss

Shah Alam: Persoalan mengenai gosip mengaitkan penyanyi Amira Othman dengan ‘Duda Terhangat’ Fattah Amin terjawab hari ini apabila mereka sebenarnya berkolaborasi dalam muzik video single terbaru Amira berjudul Bila Nak Kahwin. 

Amira, 32, berkata, gimik ini terhasil menerusi kerjasama label rakamannya, Sony Music Entertainment dan pengurusan Fattah Amin. 

“Kita plan untuk ada beberapa babak dengan dia. Saya pun tak pasti mungkin ada yang suka dan mungkin tidak dengan gimik ini. 

“Tapi saya harap tidaklah melukakan hati penyokong dan peminat-peminat saya sebab saya rasa seorang anak seni jika tiada kontroversi pun orang tanya,” katanya ditemui pada pelancaran koleksi eksklusif terbaharu, “Raya Series” Varisha Collection Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Menurutnya, dia mengambil risiko berkolaborasi dengan Fattah untuk muzik video ini malah sedia menerima pandangan dan kritikan semua sama ada negatif mahupun positif. 

“Segala yang baik saya ambil dan yang tak baik saya tak boleh buat apa dan anggap biasalah, tak semua orang boleh terima kita. Seorang dua tak suka saya minta maaf. 

“Tapi itu atas keperluan kerja. Sebelum kita pilih Fattah, ada beberapa nama disenaraikan tapi kita tahu nama Fattah Amin sangat ‘hot’ dan syarikat rakaman pun setuju. 

“Segala persiapan dibuat dan jadual Fattah pun okay. Akhirnya perkara ini jadi kenyataan,” katanya. 

Amira berkata, sebelum melakukan gimik ini, dia dan label sudah memikirkan pelbagai kemungkinan dan dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. 

“Penggambaran muzik video membabitkan Fattah ini dibuat semasa saya bercuti di London bersama Hawa Rizwana hujung tahun lalu. 

“Masa berbual dengan pengurusan Fattah, saya diberitahu jadualnya padat tapi dia akan bercuti. Kebetulan juga dia bercuti ke London, maka sempatlah kami selit babak di sana,” katanya. 

Terdahulu, nama Amira disebut sebagai antara wanita yang kini berhubungan mesra dengan Fattah selepas pelakon itu bercerai dengan bekas isteri juga pelakon, Nur Fazura pada 7 Oktober lalu. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top