am@hmetro.com.my
Kajang: Sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan tong kitar semula di hadapan Pangsapuri Vista Seri Putra, Bandar Seri Putra, di sini sebagai tempat pembuangan sampah bukan hanya mencerminkan ketiadaan sivik bahkan, mencacatkan pemandangan kawasan.
Perkara itu berlaku apabila kawasan sekitar kabin kitar semula terbabit menjadi kotor dengan pelbagai jenis sampah termasuk sisa makanan dibuang, baju terpakai berselerak akibat diselongkar.
Ahli Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan Vista Seri Putra, Mohamad Rozman Besiri, 47, berkata, sebelum ini, pihaknya berdepan dengan masalah sampah pukal di apartmen berkenaan.
“Apabila kemudahan (kabin kitar semula) ini disediakan pada tahun lalu di kawasan kami, ia disambut baik oleh penduduk kerana dapat membantu menyelesaikan masalah lambakan sampah.
“Namun, masalah lain mula timbul beberapa bulan kemudian apabila kawasan ini menjadi kotor dengan lambakan pakaian yang diselongkar serta barang bukan kitar semula turut diletakkan di sini.
“Ia sekali gus menyebabkan pemandangan di sekitar apartmen terjejas dengan keadaan kawasan tong kitar semula berkenaan yang kotor dan berselerak,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Vista Seri Putra, Bandar Seri Putra di sini.
Mohamad Rozman berkata, sejak awal tahun, aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dibuat beberapa kali, namun masalah sama masih berulang.
“Apa yang menjadi kebimbangan saya adalah kawasan ini akan menjadi tempat berkumpul anjing liar yang tertarik dengan longgokan sampah.
“Perkara itu sekali gus mendatangkan risiko keselamatan terhadap anak ketika bermain di taman permainan yang terletak berhampiran dengan kawasan tong,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di pangsapuri itu, Mohd Afiq Hanafi, 34, berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan membuang sampah di tong kitar semula terbabit.
“Jika dilihat pada barangan yang ada di tong kitar semula ini, ada barang tidak sepatutnya diletakkan seperti makanan, kayu dan lain-lain.
“Malah, ada bungkusan pakaian diletak di luar tong dalam keadaan kotor serta berselerak kerana diselongkar oleh individu yang mahu mencari pakaian,” katanya.
Mohd Afiq yang juga seorang peniaga berkata, situasi itu turut menjejaskan pemandangan kawasan pangsapuri, bukan sahaja bagi orang luar tetapi juga kepada penduduk sendiri.
“Rumah saya terletak di blok yang menghadap kawasan tong kitar semula itu. Apabila saya mahu berehat, saya akan terpandang tong kitar semula itu dari balkoni rumah yang kelihatan seperti tempat pembuangan sampah.
“Bukan sahaja pemandangan kotor itu yang mengganggu, malah saya sering mendengar orang atau anjing menyelongkar bungkusan pakaian pada waktu malam…ia jelas satu gangguan kepada penduduk,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd



