Kuala Lumpur: Rumah tangga pemain sensasi Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim kembali ceria apabila dia memuat naik gambar bahagia bersama keluarga tercinta di laman sosial.
Menerusi perkongsian di InstaStory pagi tadi, Faisal berkongsi detik mesra sambil menulis ucapan ringkas “Alhamdulillah” dengan lagu “Sayang Sampai Mati” dendangan Repvblik dijadikan latar belakang.
Foto itu memperlihatkan Faisal memeluk erat isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahri dan anak lelaki mereka Khalish Aryan.
Lebih manis, Nur Syazwani turut memuat naik semula gambar itu di InstaStory miliknya dengan coretan penuh syukur: “Alhamdulillah. Maaf dan lupakan. Semoga Allah lindungi perkahwinan kami hingga ke syurga. Sayang awak Faisal Halim. Rasa macam baru kahwin semalam.”
Sebelum ini, Nur Syazwani pernah memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan ini berkahwin pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan.
Kini perkongsian mesra mereka memberi bayangan jelas badai rumah tangga sudah berlalu dan hubungan mereka kembali utuh seperti baharu melangkah ke alam perkahwinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




