BATU PAHAT: Ahli keluarga terdekat Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, mengakui terasa seolah-olah arwah masih berada di kediaman keluarga secara fizikal walaupun selepas kira-kira dua minggu sejak kematiannya.
Datuk mangsa, Khyar Abas, 69, berkata, hal itu kerana barangan peribadi milik mangsa masih tersusun rapi seperti keadaan asal, sebelum kejadian di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, 3 Oktober lalu.
Katanya, sehingga sekarang bilik arwah tidak berusik, termasuklah baju dan barangan persekolahannya.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Walaupun dua minggu telah berlalu, tetapi saya masih tidak boleh lupa. Ini kerana saya, isteri dan arwah yang tinggal bertiga di kediaman ini. Jadi memang terasa kehilangannya.
“Kadang-kadang masih terbayang seperti dia masih ada, apatah lagi apabila tengok bilik dia, pakaian dia. Barang-barang dia juga saya tidak usik, sama seperti ditinggalkan kerana saya tidak sampai hati. Setiap kali teringat luruh hati saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.
Khyar yang menjalankan perniagaan makanan dan logistik turut memberitahu, dia yakin perasaan tersebut turut dirasai ahli keluarganya yang lain.
“Mungkin perasaan ini bukan saya sahaja rasa, tetapi juga ahli keluarga lain termasuklah saudara mara dan sepupu arwah. Ini kerana arwah melayan semua orang sama rata, semua dilayan dengan baik.
“Sejak hari kejadian sehingga kini, rumah ini tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan orang ramai termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah berpuluh tahun terputus hubungan.
“Ada yang datang dari Pulau Pinang, Kelantan dan Kuala Lumpur. Saudara jauh serta rakan-rakan ketika saya muda dahulu turut datang ziarah, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan, guru-guru arwah serta wakil agensi-agensi kerajaan lain turut hadir,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang pendakwaan terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun kerana membunuh Irene Sofiya di Mahkamah Majistret Batu Pahat, di sini hari ini, dia berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada undang-undang.
“Keluarga harapkan ada keadilan, balasan yang setimpal kepada suspek atas perbuatannya. Berhubung perkara itu kita serahkan kepada pihak berwajib. Itu harapan setulus hati saya.
“Sehingga kini, ahli keluarga tertuduh tidak datang bertemu kami, tiada panggilan telefon. Mungkin bukan masanya, saya mungkin boleh terima tetapi anak-anak dan juga saudara mangsa mungkin berpendapat lain,” katanya.
Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan maut dipercayai mati dibunuh di dalam dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.
Susulan itu katanya, pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Habis..
Caption:
KHYAR Abas memeluk erat beg sekolah milik arwah Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, Batu Pahat.




