Rashford buat penampilan sulung bersama Barca

Rashford buat penampilan sulung bersama Barca

Kobe: Penyerang England, Marcus Rashford memulakan lembaran baharu dalam kariernya apabila membuat penampilan sulung bersama Barcelona dalam aksi pramusim menewaskan kelab Liga J Jepun, Vissel Kobe 3-1 di Jepun, malam tadi.

Rashford, 27, dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua selepas menyertai juara La Liga itu secara pinjaman dari kelab zaman kanak-kanaknya, Manchester United, awal minggu ini.

Perlawanan itu pada asalnya dibatalkan oleh Barcelona pada Rabu lalu atas alasan ‘pelanggaran kontrak serius’ oleh penganjur, namun akhirnya tetap diteruskan.

Aksi berlangsung sengit apabila Eric Garcia membuka jaringan buat Barcelona sebelum Taisei Miyashiro menyamakan kedudukan untuk Vissel Kobe. kelab yang pernah disertai legenda Barca, Andres Iniesta.

Jurulatih, Hansi Flick, melakukan rombakan penuh pada babak kedua, dengan pemain baharu, Roony Bardghji, kembali meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-77 sebelum Pedro Fernandez menambah gol ketiga pada minit ke-87.

Menurut laporan media Sepanyol, Barcelona membayar sekitar 75 peratus daripada gaji Rashford yang bernilai £325,000 (RM2 juta) seminggu, manakala selebihnya ditanggung sendiri oleh pemain itu.

Rashford yang tidak lagi menjadi pilihan utama pengendali United, Ruben Amorim, sebelum ini dipinjamkan ke Aston Villa pada penghujung musim 2024/25.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top