Manchester: Manchester United sekali lagi dihimpit isu dalaman apabila lima pemain utamanya dilaporkan mahu meninggalkan kelab itu termasuk Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho.
Selain dua tonggak berkenaan, pemain tengah Brazil Antony, pertahanan Belanda Tyrell Malacia dan Jadon Sancho turut dikatakan sedang mencari jalan keluar dari Old Trafford.
Pendedahan itu dibuat sumber kelab kepada media Britain yang mendakwa pemain terbabit sudah memaklumkan hasrat mereka kepada pengurusan.
Rashford, yang sudah membuat lebih 400 penampilan bersama United, dilaporkan tidak lagi disenangi pengendali Ruben Amorim selepas prestasi tidak menentu musim lalu.
Pemain itu dipinjamkan ke Aston Villa musim lalu dan menjaringkan dua gol dalam 10 aksi Liga Perdana Inggeris sepanjang tempoh pinjaman.
Amorim sebelum ini pernah mempersoalkan etika kerja Rashford dan secara sinis berkata lebih baik meletakkan jurulatih penjaga gol di bangku simpanan berbanding pemain yang tidak memberikan komitmen penuh.
Garnacho pula tidak berpuas hati selepas hanya dimasukkan lewat sebagai pemain gantian ketika perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham Hotspur yang dimenangi lawan 1 0.
Pemain Argentina itu turut meluahkan rasa kecewa di media sosial dan mengakui keputusan untuk kekal atau tidak akan dipengaruhi situasi musim ini.
Sancho pula beraksi bersama Chelsea secara pinjaman musim lalu dengan membuat 31 penampilan manakala Antony menyertai Real Betis dan menjaringkan lima gol dalam 17 aksi La Liga.
Malacia yang jarang mendapat minit permainan sejak pulih daripada kecederaan pula dipinjamkan ke PSV Eindhoven pada Februari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd