Rashford mulakan episod baharu di Barcelona

Rashford mulakan episod baharu di Barcelona

MARCUS Rashford sah menyertai Barcelona secara pinjaman selama semusim daripada Manchester United, dengan opsyen pembelian tetap pada penghujung musim.

Perpindahan ini bukan sahaja menandakan lembaran baharu dalam karier Rashford, malah memberi nafas segar kepada barisan serangan Barca dalam situasi kewangan yang mencabar.

Dalam sidang media perdananya di Catalunya, penyerang berusia 27 tahun itu menyifatkan perpindahan ini sebagai keputusan yang mudah.

“Saya tahu pilihan saya sejak awal. Barcelona adalah kelab yang saya kenali sejak kecil. Ia terasa seperti pulang ke rumah,” kata Rashford.

Barcelona akan menanggung sepenuhnya gaji Rashford sebanyak £325,000 (kira-kira RM2 juta) seminggu, menjadikan nilai keseluruhan pinjaman ini dianggarkan sekitar RM95 juta untuk satu musim.

Tidak melibatkan bayaran perpindahan di peringkat awal, langkah ini dianggap sebagai solusi bijak bagi kelab yang masih terikat dengan had kewangan La Liga.

Pengendali Barca, Hansi Flick dikatakan memainkan peranan penting dalam memuktamadkan urus niaga ini selepas gagal mendapatkan Nico Williams dan Luis Diaz.

Rashford muncul sebagai pilihan realistik yang mampu menawarkan fleksibiliti dalam serangan—boleh beraksi di sayap kiri, penyerang tengah atau sebagai penyerang kedua.

Beliau bakal menyarung jersi nombor 14, nombor ikonik yang pernah dimiliki oleh Johan Cruyff dan Thierry Henry.

Sebelum ini, Rashford menyertai Aston Villa secara pinjaman selepas cubaan berhijrah pada Januari gagal.

Kali terakhir beliau beraksi bersama United adalah pada 12 Disember tahun lalu, sebelum mengalami kecederaan hamstring ketika bersama Villa, sekali gus menamatkan musim lebih awal.

Kehadiran Ruben Amorim sebagai pengurus turut menyaksikan Rashford diketepikan daripada skuad utama dan diberi lampu hijau untuk mencari kelab baharu.

Walaupun begitu, beliau menegaskan perpindahannya bukan berpunca daripada konflik dalaman.

“Manchester United tetap kelab yang penting dalam hidup dan karier saya. Saya bersyukur atas segala peluang yang diberi, tetapi dalam bola sepak, tidak semua berjalan seperti yang kita rancangkan,” katanya.

Bagi Barcelona, Rashford hadir sebagai penyelesaian segera yang berkualiti tanpa beban kos perpindahan.

Bagi Rashford pula, ini peluang untuk menghidupkan semula karier di pentas tertinggi, jauh daripada tekanan Liga Perdana Inggeris dan dengan sokongan penuh daripada pengendali yang mempercayai kebolehannya.

Scroll to Top