Rashford sah didaftarkan, bersedia buat debut bersama Barcelona

Rashford sah didaftarkan, bersedia buat debut bersama Barcelona

Barcelona: Penyerang baharu Barcelona, Marcus Rashford serta penjaga gol, Joan Garcia sah didaftarkan tepat pada masanya untuk diturunkan dalam aksi pembukaan La Liga menentang Mallorca, awal pagi esok.

Barcelona mengesahkan Rashford dan Garcia berada dalam senarai pemain pilihan jurulatih, Hansi Flick, bagi perlawanan berkenaan.

Rashford menyertai kelab itu bulan lalu dari Manchester United menerusi pinjaman dengan pilihan pembelian, manakala Garcia berhijrah dari Espanyol pada Jun lalu.

Disebabkan kekangan peraturan kewangan ‘financial fair play’ (FFP), Barca berdepan kesukaran untuk mendaftarkan pemain selepas berbelanja lebih besar dalam urusan perpindahan dan pembayaran gaji berbanding pendapatan yang dijana sejak beberapa musim.

Profil Rashford dan Garcia kini sudah disenaraikan di laman rasmi La Liga, namun nama Gerard Martin serta penjaga gol, Wojciech Szczesny masih belum dimasukkan, menandakan Barcelona mungkin perlu mendaftarkan pemain secara berperingkat jika gagal menyelesaikan semuanya sekali gus.

Sebahagian masalah pendaftaran itu berjaya diringankan selepas rundingan dalaman membabitkan kapten pasukan, Marc-Andre ter Stegen.

Penjaga gol Jerman itu pada awalnya enggan menandatangani perjanjian cuti sakit jangka panjang yang mampu mengurangkan 80 peratus gajinya dan membantu kelab mematuhi peraturan kewangan.

Bagaimanapun, selepas pembedahan yang memaksanya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan, ter Stegen akhirnya bersetuju dengan syarat itu.

Dia pada mulanya dilucutkan jawatan kapten sebelum kembali diberikan tanggungjawab itu sebaik mencapai persetujuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top