Rashid sangkal dakwaan Madinah

BANGI: “Untuk rekod, Madinah telah dikeluarkan sepina dan diminta hadir di hadapan kami pada 3 Jun 2022.

“Beliau meminta untuk ha­dir bersama Mona (Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Dr. Mona Othman). Me­ngikut prosiding RCI, kami memeriksa saksi secara seorang demi seorang.”

Itu penjelasan bekas anggo­ta Suruhanjaya Siasatan Dira­ja (RCI) berkaitan Lembaga Ta­bung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain, menafikan dakwaan be­kas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad baha­wa beliau tidak diberi pe­luang untuk hadir dan memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan.

Rashid yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata, rekod prosiding menunjukkan Madinah telah dikeluarkan sepina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022, sekali gus menafikan dakwaan beliau tidak dipanggil memberi keterangan secara langsung.

Beliau berkata, RCI ba­gai­manapun telah mendapatkan penjelasan daripada Mona sehari sebelum tarikh Madinah dijadualkan hadir, iaitu pada 2 Jun 2022, selain mendapatkan keterangan pegawai meja yang mengendalikan audit TH.

“Pada 2 Jun 2022, kita sudah mendapatkan kehadiran Mona dan juga pegawai meja bagi audit Tabung Haji untuk memberikan penjelasan kepada kita. Kita ada laporan penuh,” katanya ditemui selepas Dia­log Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini semalam.

Sebelum ini, Madinah menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil memberi ke­terangan secara langsung dalam prosiding RCI TH, walaupun beliau mendakwa bersedia berbuat demikian.

Madinah yang memegang jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 turut mendedahkan beliau berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika prosiding RCI berlangsung, namun namanya tidak dipanggil.

Rashid berkata, Madinah tetap diberi ruang mengemukakan pandangan dan penjelasan secara bertulis apabila RCI mengemukakan 75 soalan kepadanya.

Menurutnya, Madinah kemudian mengemukakan jawapan berkenaan di bawah akuan berkanun pada 1 April 2022 dan dokumen itu direkodkan sebagai pernyataan saksi oleh RCI.

“Untuk rekod sekali lagi, kami memberikan beliau peluang mengemukakan jawapan bertulis kepada 75 soalan.

“Beliau telah mengemukakan jawapan itu di bawah akuan berkanun pada 1 April 2022 dan ia berada dalam rekod kami sebagai pernyataan saksi,” katanya.

Dalam pada itu, Rashid memberitahu, proses melengkapkan baki syor RCI TH kini hampir ke peringkat akhir, khususnya membabitkan usaha memperkukuh aspek kawal selia institusi berkenaan.

Kata beliau, pelaksanaan syor berkenaan memerlukan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sebelum ciri kawal selia dan tadbir urus baharu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini memakan masa kerana kita perlu mengubah akta yang ada sekarang. Akta yang ada sekarang ialah Akta 535 dan proses itu sudah hampir lengkap.

“Kita hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara dalam tempoh sebulan atau dua lagi dan perubahan itu akan mengekalkan ciri kawal selia serta tadbir urus,” katanya.

Beliau turut memberitahu, TH) sedang menilai cadangan perubahan dalam rangka kerja kawal selianya untuk meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun.

Katanya, jawatankuasa pa­sukan petugas bersama yang turut disertai pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), berhasrat untuk meletakkan cabang pelaburan TH di bawah pengawasan SC susulan perbincangan yang mendalam.

“Selepas mempertimbangkan secara terperinci selama hampir enam bulan, kami menyimpulkan bahawa adalah lebih relevan untuk (cabang pelaburan) TH dikawal selia oleh SC. Bagaimanapun, itu tidak bermakna BNM tidak akan terlibat.

“Kami sedang memperhalusi rangka kerja untuk memastikan semua pengawal selia utama terlibat dalam struktur kawal selia masa depan TH,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top