Rasmikan hubungan

Rasmikan hubungan

suliati@hmetro.com.my

FAKULTI Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melebarkan rakan strategiknya di luar negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Anbar, Iraq, baru-baru ini.

FPQS yang akan menjadi peneraju di peringkat USIM dalam melaksanakan agenda MoU ini akan mengambil peranan mewujudkan kerangka kerjasama menyeluruh antara kedua-dua institusi.

Malah, melalui MoU dimeterai antara kedua-kedua universiti, secara tidak langsung ia bakal merintis peluang baharu kepada FPQS untuk membawa dan mendekatkan nama fakulti dan USIM dengan institusi pendidikan tinggi di Timur Tengah.

Dekan FPQS, Profesor Madya Dr Mohd Zohdi Mohd Amin berkata, antara ruang lingkup kerjasama bakal dilaksana bersama Universiti Anbar nanti termasuk program pertukaran akademik membabitkan kakitangan dan pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan kolaboratif, pembangunan kurikulum terutama dalam bidang pengajian Islam, al-Quran dan sunnah serta bahasa Arab.

Katanya, bidang kerjasama lain yang bakal diterokai adalah pertukaran budaya dan pembangunan kapasiti dalam aspek akademik dan pentadbiran.

“Selepas ini, langkah segera yang perlu dilaksana untuk FPQS mengatur perbincangan khas bersama Naib Canselor dan dekan-dekan fakulti.

“Sasarannya, dalam tempoh sebulan kita dapat sediakan satu kertas cadangan program kerjasama yang komprehensif untuk diserah kepada Universiti Anbar.

“Sebelum ini kita terima delegasi Universiti Anbar melawat ke fakulti dan ketika itu mereka tertarik dengan kemampuan dan kelebihan di FPQS dan USIM.

“Alhamdulillah, hari ini kita rasmikan hubungan FPQS-USIM dan Universiti Anbar melalui MoU kerana saya lihat begitu banyak potensi yang boleh kita terokai secara bersama selepas ini,” katanya.

Majlis menandatangani MoU antara kedua-dua universiti disempurnakan USIM yang diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani manakala Universiti Anbar diwakili sendiri Presiden Universiti, Profesor Dr Mushtaq Talib Al Nada.

Kerjasama ini sejajar dengan misi bersama kedua-dua universiti untuk memperkasa kedudukan al-Quran, hadis dan Islam sejajar dengan amanah dipertanggungjawabkan Allah SWT. MoU ini turut menggambarkan aspirasi USIM menjadi rujukan global dalam keilmuan Islam melalui kerjasama antarabangsa yang memberi impak serta menerajui integrasi ilmu Naqli dan Aqli pada 2025.

Sempena majlis MoU ini juga turut diadakan sesi perbincangan meja bulat antara wakil-wakil fakulti di USIM bersama barisan delegasi dari Universiti Anbar untuk melihat potensi sinergi lain yang boleh dilaksana bersama kepelbagaian kepakaran akademia yang dimiliki USIM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top