Rasuah: AGC tolak representasi bekas Hakim Mahkamah Sesyen

Rasuah: AGC tolak representasi bekas Hakim Mahkamah Sesyen

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar oleh bekas Hakim Mahkamah Sesyen memohon untuk mengekalkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadapnya.

Azmil Muntapha Abas, 50, pada asalnya disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan dihukum penjara enam bulan serta denda RM25,000, kerana menerima rasuah RM5,000 yang berkaitan dengan prosiding mahkamah dikendalikannya.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa, AGC telah mempertimbangkan representasi Azmil Muntapha dan memutuskan untuk menolaknya.

Pihak pendakwaan memohon untuk mengembalikan hukuman asal enam bulan penjara dan denda RM25,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Pendengaran rayuan itu ditetapkan pada hari ini, di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah dan dibarisi Datuk Mohamed Zaini Mazlan serta Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, bagaimanapun ditangguhkan kerana Azmil Muntapha tidak sihat.

Peguamnya Datuk Ishak Mohd Yusof memberitahu bahawa Azmil Muntapha mendapatkan rawatan kerana tekanan darah tinggi yang terlalu tinggi, selepas berasa pening semasa dalam perjalanan ke mahkamah, menyebabkan peguam memohon supaya tarikh pendengaran baharu ditetapkan.

Ishak juga memberitahu bahawa anak guamnya sebelum ini telah menghantar representasi kepada AGC memohon supaya hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 dikekalkan.

Mahkamah Rayuan menetapkan 25 April ini sebagai tarikh baharu pendengaran.

Pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 ke atas Azmil Muntapha, selepas mendapati beliau bersalah menerima rasuah RM5,000 atas kapasitinya sebagai Hakim Mahkamah Sesyen dalam prosiding kes jenayah yang melibatkan enam tertuduh.

Mereka ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong, yang didakwa di bawah Seksyen 9 Akta Rumah Perjudian Awam 1953 (Akta 289), serta telah didenda oleh Azmil Muntapha atas kesalahan tersebut.

Azmil Muntapha didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Jalan Meru, Klang pada 10 Mei 2018.

Pada 3 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengurangkan hukuman Azmil Muntapha iaitu penjara kepada sehari dan denda daripada RM25,000 kepada RM12,000.

Ishak memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa anak guamnya telah menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda tersebut.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Dr Ifa Sirrhu Samsudin, Maziah Mohaide, Siti Amirah Muhammad Ali dan Elyza Amira Habeeb Rahman juga mewakili pihak pendakwaan manakala Azmil Muntapha turut diwakili peguam Hamdan Hamzah dan Nur Faida Mohd Rashidee.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top