Rasuah buka kedai emas, pasangan pegawai Imigresen 'makan kiri kanan'

Rasuah buka kedai emas, pasangan pegawai Imigresen 'makan kiri kanan'

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpul wang rasuah ketika suami bertugas penguat kuasa di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala isterinya pula terbabit dalam tugasan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pemutihan sehingga mampu membuka sebuah kedai emas dengan sejumlah stok berharga jutaan ringgit.

Itu taktik pasangan suami isteri berusia 40-an itu yang dianggap ‘makan kiri kanan’ bagi mengelakkan wang rasuah diterima mereka dikesan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut sumber, kedua-dua suspek tidak bekerja secara bersama sebaliknya mempunyai peranan yang berbeza dalam jabatan berkenaan.

“Suspek lelaki berkhidmat di kaunter penguatkuasaan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) manakala isterinya pula berada dalam perkhidmatan bagi melaksanakan Program RTK Pemutihan.

“Siasatan mendapati suspek wanita mendapat peluang dengan melakukan banyak kes rasuah ketika bekerja di bahagian pekerja asing. Habuan rasuah itu sewaktu dia terbabit dalam RTK Pemutihan sebelum dia ditempatkan ke bahagian lain,” katanya.

Sumber berkata, suaminya dikesan berkomplot melakukan perbuatan counter setting bersama rakan-rakan sekerja penguat kuasa di KLIA, dalam masa sama mereka berdua tidak berkhidmat bersama-sama di Melaka.

Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan kumpul hasil beratus ribu wang rasuah diperoleh dalam tempoh empat tahun sebelum dilaburkan dengan membuka perniagaan kedai emas.

Malah, wang haram diperoleh sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen itu digunakan untuk membeli barang kemas dan kereta mewah.

Bagi mengaburi kegiatan, suspek berusia 40-an itu sengaja menggunakan nama adik dan anak mereka sendiri sebagai proksi bagi membuka kedai emas itu membabitkan modal kira-kira RM600,000.

Kegiatan dan harta haram dimiliki pasangan itu melalui peranan mereka mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini bagaimanapun berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Akhbar ini turut mendedahkan pegawai penguat kuasa yang ditahan SPRM menerima rasuah secara puratanya mampu mencecah RM50,000 sebulan bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Malah wang rasuah yang diterima daripada sindiket itu bergantung kepada kepada warga asing yang dilepaskan melalui pintu masuk negara.

Susulan itu SPRM membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket ‘counter setting’ bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Selain pembekuan kesemua akaun terdiri daripada 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat itu, wang tunai berjumlah lebih RM200,000 turut disita susulan Op Rentas berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top