KOTA BHARU: Empat anggota polis yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000 dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan semalam.
Sumber berkata, ketika ini SPRM sedang melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya tindakan selanjutnya.
Katanya, kesemua suspek itu ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam kereta yang dipandunya.
“Pada 7 April lalu, keempat-empat suspek telah ditahan reman selama lima hari dan semalam (Sabtu) mereka telah dilepaskan sebaik tempoh reman terhadap kesemua suspek tamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, kesemua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM dan perlu melaporkan diri setiap bulan di SPRM Kelantan.-UTUSAN




