Rasuah juga boleh berlaku di jabatan 'risiko rendah'

Rasuah juga boleh berlaku di jabatan 'risiko rendah'

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

SERDANG: Jenayah rasuah dan penyelewengan masih boleh berlaku di agensi atau jabatan kerajaan yang disifatkan sebagai ‘berisiko rendah’.

Penasihat Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata jenayah rasuah tidak mustahil untuk berlaku di situ memandangkan setiap agensi mempunyai peruntukan dana serta belanja daripada kerajaan.

“Tidak mustahil untuk rasuah berlaku di mana-mana agensi kerajaan namun kemungkinan untuk berlakunya rasuah di agensi ‘low risk’ agak kurang kerana dana dan perbelanjaan mereka rendah.

“Tetapi tidak bermakna ia tidak boleh dielakkan seperti dengan melakukan pelan anti rasuah di agensi berkenaan kerana pencegahan dari awal penting untuk mengelakkan berlakunya salah laku itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan

Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Ibu Pejabat Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor serta dua timbalannya, Hasimah Hafiz Ahmad (Penyelidikan) dan Tapsir Serin (Pembangunan dan Operasi).

Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata, setiap agensi kerajaan sama ada berisiko tinggi atau rendah perlu melaksanakan pelan antirasuah untuk memerangi gejala atau risiko rasuah dalam jabatan.

“Setiap agensi yang melakukan pelan antirasuah sebelum berlakunya kes amat dihargai kerana ia membantu semua pihak menjadi lebih berwibawa dalam setiap aspek.

“Langkah yang diambil MARDI, ia amat baik kerana mereka mencegah sebelum terjadinya salah laku itu,” katanya.

Mohamad Roff berkata , MARDI akan terus menyokong kerajaan untuk membentuk sebuah negara yang bebas rasuah dengan membudayakan ketelusan, akauntabiliti serta integriti di kalangan kakitangannya.

“Pelan ini membantu MARDI untuk menangani isu governans, integriti dan antirasuah secara menyeluruh dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang menyebabkan ketiriean, pemborosan atau pembaziran kepada kerajaan.

“Kita berharap ia juga menjamin reputasi MARDI dari sebarang perbuatan tidak akur kepada peraturan, rasuah dan tata laku dalam kalangan warga agensi ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top