Rasuah RM10 juta: 4 pemilik syarikat kejuruteraan marin direman – Utusan Digital

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  menahan empat pemilik syarikat kejuruteraan marin kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek sebuah agensi penguatkuasaan dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Menurut sumber, individu-individu membabitkan dua lelaki dan dua wanita berusia 40 hingga 71 tahun itu ditahan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya pukul 9 hingga 10 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Kumpulan itu dipercayai memberi rasuah kepada pegawai agensi penguatkuasaan tersebut sebagai balasan membantu syarikat-syarikat terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan berkaitan marin bermula 2018 hingga tahun ini.

“Dua daripada mereka masing-masing seorang lelaki dan wanita direman  empat hari bermula hari ini hingga 24 Jun manakala dua lagi direman dua hari sehingga esok,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN