Kuala Lumpur: Seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka akan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), esok.
Turut akan direman adalah isterinya, bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta untuk tujuan lantikan syarikat projek penambakan laut di sekitar Melaka.
BH difahamkan, suami isteri itu sudah ditahan SPRM kira-kira jam 2 petang tadi, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
“Kes ini disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman,” katanya.
Sementara itu, siasatan awal SPRM mendapati suspek lelaki bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2021.
Mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Difahamkan, pasangan itu kemudiannya disyaki menggunakan wang rasuah itu untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




