mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman penjawat awam dan pengarah syarikat kerana disyaki memberi serta menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan berkaitan dengan kesalahan pengisytiharan pembelian minyak subsidi.
Perintah reman selama empat hari sehingga 11 April terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan pada 8.50 malam Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu sekitar April 2024 dan memberi serta menerima wang secara tunai dan berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




