mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memulakan siasatan terhadap 26 syarikat yang disyaki terbabit dalam tender perolehan Tentera Darat.
Menurut sumber, kesemua pemilik syarikat itu terbabit di dalam siasatan itu dan tidak menolak kemungkinan mereka akan direman bagi membantu siasatan.
“SPRM sudah memulakan siasatan terhadap kesemua 26 buah syarikat terbabit kira-kira jam 11 pagi tadi di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” katanya
SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat dan pada 24 Disember lalu, SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
Pada 24 Disember lalu, SPRM mengambil aduan dan merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira jam 12 tengah hari mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.
Chegubard sebelum ini mendakwa terdapat ‘aliran tunai besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya, yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Beliau merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun bank.
Dokumen berkenaan, dakwanya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit.
Beliau juga mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



