Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tatkala mereka dalam perjalanan pulang ke pusat pengajian berkenaan.
Negara berduka dengan insiden berkenaan, namun di sebalik kemalangan berkenaan, terbit hikmah dan pengajaran yang besar untuk kita ambil serta perhalusi.
Islam sangat menggalakkan menuntut ilmu kerana ilmu adalah satu jalan yang boleh merubah kehidupan seseorang dan mungkin menjadi asbab seseorang itu keluar daripada kejahilan.
Ilmu ini juga mampu merubah kehidupan seseorang kepada yang lebih baik dengan izin Allah SWT.
Menuntut ilmu adalah satu jalan yang sangat dimuliakan dalam Islam. Dalam banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, kedudukan ilmu diangkat tinggi sebagai asas kepada pembangunan insan serta masyarakat. Ilmu bukan sekadar alat untuk kehidupan dunia, tetapi ia juga adalah wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Menuntut ilmu adalah kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana ilmu adalah pengukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara itu baik atau tidak. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah ayat 11)
Rasulullah SAW bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi: “Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehingga dia kembali pulang.”
Hadis ini menunjukkan betapa mulianya perjalanan seorang penuntut ilmu sehingga disamakan dengan jihad fisabilillah. Menuntut ilmu bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi ia adalah sebahagian daripada perjuangan rohani yang besar, melibatkan kesungguhan, pengorbanan masa, tenaga, bahkan nyawa.
Jihad dalam konteks menuntut ilmu adalah kerana ia menghidupkan agama, melemahkan hawa nafsu dan syaitan serta memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Ia bukan jalan mudah, namun ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT.
Islam juga memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka yang terkorban dalam perjalanan menuntut ilmu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, Nabi SAW bersabda: “Jika maut datang kepada penuntut ilmu dalam keadaan dia menuntut ilmu, maka dia mati sebagai seorang syahid.”
Ini adalah satu bentuk syahid akhirat iaitu mereka yang meninggal dalam keadaan taat kepada Allah SWT dan diberikan kedudukan tinggi di akhirat walaupun pengurusan jenazah mereka dilakukan seperti orang biasa (dimandikan, dikafankan dan disolatkan).
Ulama Ahli Sunah Waljamaah menyatakan bahawa walaupun ada hadis yang tidak mencapai taraf sahih daripada sudut sanad dalam hal ini, namun maknanya tidak jauh daripada kebenaran dan boleh diamalkan dalam bab kelebihan serta fadilat.
Ini semua menunjukkan betapa agung kedudukan orang yang berada dalam jalan ilmu. Maka tidak rugi sesiapa pun menuntut ilmu dengan niat yang benar sama ada ilmu fardu ain, fardu kifayah atau apa-apa ilmu bermanfaat yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Apabila seseorang itu meninggal dalam jalan ini, sama ada dalam perjalanan ke kuliah, di tengah pengajian atau dalam usaha mendalami ilmu, dia dianggap sebagai husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik.
Semoga dengan pencerahan ini, kita semua dapat mengambil iktibar dan terus menanamkan semangat menuntut ilmu dalam diri dan masyarakat.
Mari kita menyokong dan mendoakan sekalian pelajar, guru, pensyarah, ilmuwan dan semua pencinta ilmu agar istiqamah dalam jalan ini serta semoga jika kematian datang, ia datang dalam keadaan yang paling mulia sebagai penuntut ilmu di jalan Allah SWT.
Penulis Mufti Pahang
© New Straits Times Press (M) Bhd