Ratusan bersolidariti, ketuk periuk protes krisis kebuluran di Gaza

Ratusan bersolidariti, ketuk periuk protes krisis kebuluran di Gaza

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratusan peserta berarak menunjukkan solidariti untuk rakyat Palestin di Taman Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, peserta berkumpul bermula jam 5 petang masing-masing membawa dan mengetuk periuk dan perkakasan memasak sambil berarak sejauh kira-kira tiga kilometer dari Taman KLCC, melalui Jalan Ampang dan berakhir di Stesen MRT Ampang Park.

Perbuatan itu dipercayai bagi menyampaikan mesej penderitaan rakyat Gaza yang berdepan krisis kebuluran susulan Israel menyekat bantuan kemanusiaan daripada masuk ke wilayah terbabit sejak 2 Mac lalu, mengakibatkan ratusan penduduk dilaporkan meninggal dunia.

Di samping berarak, beberapa peserta himpunan dilihat membuat persembahan pantomin memaparkan bagaimana bantuan kemanusiaan disekat oleh Israel dari memasuki Gaza menyebabkan rakyat negara itu termasuk wanita dan kanak-kanak mati kebuluran.

Selain itu, ratusan peserta lain turut membawa bendera Palestin dan sepanduk tertera pelbagai mesej antaranya ‘Israel punca Gaza kebuluran’, ‘Israel guna kelaparan sebagai senjata’, ‘Berhenti bunuh kanak-kanak’ dan ‘Hentikan pembantaian di Gaza’.

Perarakan selama dua jam itu berlangsung secara aman dan lancar dengan bantuan kawalan pihak polis.

Menurut angka terkini, seramai 134 rakyat Palestin, termasuk 88 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober 2023.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran, kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun meningkat dua kali ganda antara Mac dan Jun akibat sekatan berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top