Ratusan kubur alami pemendapan

Ratusan kubur alami pemendapan

am@hmetro.com.my

Yan: Tragedi kepala air melanda daerah ini empat tahun lalu, turut mengakibatkan ratusan kubur bersebelahan Masjid Jame’ Badlishah, Pekan Yan di sini, mendap.

Ahli jawatankuasa masjid berkenaan, Mohd Yusof Ismail, 64, berkata, kawasan tanah perkuburan di bahagian kiri masjid itu turut terkesan dan ada di antara batu nisan hampir tenggelam dalam tanah.

Menurutnya, keadaan itu tidak banyak berubah sejak tragedi itu berlalu.

“Mengimbau kejadian, saya masih ingat hujan lebat melanda kawasan ini hampir seminggu sebelum berlaku tragedi kepala air pada 18 Ogos 2021.

Katanya, terdapat hanya satu air terjun di Gunung Jerai di sini, yang boleh dilihat dari jauh.

“Namun pada hari tragedi berlaku, kami boleh nampak kemunculan sehingga 12 air terjun baharu susulan hujan lebat tanpa henti.

“Ketika hari kejadian, kami jemaah masjid duduk di atas tangga sambil melihat ke arah sungai berdekatan selepas menunaikan solat asar jam 5 petang.

“Tak lama kemudian, kami dapati arus sungai menjadi deras mendadak sambil membawa pelbagai serpihan dan batang kayu,” katanya.

Menurutnya, arus sungai naik mendadak dan hampir menenggelamkan kereta jemaah masjid.

“Saya sempat mengalihkan kereta ke kawasan selamat. Ketika itu saya lihat air sungai melimpah ke kawasan tanah perkuburan hingga tidak ubah seperti lautan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kira-kira 1,000 rumah penduduk dan sekolah ditenggelami banjir kepala air berkenaan.

“Kawasan sekeliling masjid turut ditenggelami banjir selama beberapa jam sebelum surut an meninggalkan lumpur tebal.

“Kami ambil masa hampir dua bulan untuk membersihkan masjid ini. Alhamdulillah, ramai yang membantu ketika itu,” katanya.

Menurutnya, tragedi kepala air itu yang paling dahsyat pernah dilaluinya sepanjang hidup.

“Bekas imam, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, antara yang meninggal dunia dalam tragedi itu. Dia pernah menjadi imam di masjid ini paling lama iaitu 26 tahun lalu dan jasadnya ditemui dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu imam masjid itu, Ismail Mohamad Sain, 49, berkata, kawasan tanah perkuburan di bahagian kiri masjid itu turut terkesan dan ada di antara batu nisan juga hampir tenggelam dalam tanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top