BAGAN SERAI: Kecintaan terhadap kereta nasional menjadi pengikat semangat patriotisme apabila ratusan peminat dari pelbagai negeri sanggup merentas negeri berkumpul dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan di Bukit Merah Laketown Resort, di sini.
Lebih daripada sekadar mempamerkan kenderaan kesayangan, perhimpunan itu menjadi medan mempertemukan peminat Proton dan Perodua daripada pelbagai latar belakang, selain mengeratkan silaturahim serta menzahirkan semangat cintakan negara menerusi minat terhadap automotif.
N. Navive, 39, dari Sungai Petani, Kedah berkata, dia bersama tiga rakannya membawa empat kereta nasional ke acara itu sebagai tanda sokongan terhadap sambutan kemerdekaan.
“Kami mahu mengeratkan silaturahim dengan semua. Kami mahu semua bergabung dan tidak mahu ada perpecahan antara kaum.
“Semangat Merdeka perlu terus diraikan dan mengibarkan Jalur Gemilang adalah antara cara kita menunjukkan kebanggaan terhadap negara,” katanya.
Bagi Tan Wei Kwang, 37, dari Taiping, Perak, penyertaannya dalam acara berkenaan bukan sahaja kerana minat terhadap kereta, malah memberi peluang untuk bertemu rakan serta peminat automotif lain.
Katanya, pertemuan sedemikian secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti peminat kereta.
Sementara itu, Nur Anis Hamimi Mohd Azman, 21, dari Terengganu berkata, jarak perjalanan tidak menghalangnya bersama kira-kira 20 ahli kumpulan membawa lima kereta untuk menyertai acara berkenaan.
Menurutnya, kos perjalanan lebih RM200 tidak menjadi persoalan kerana matlamat utama adalah untuk berkumpul, berkenalan dan mengeratkan silaturahim dengan peminat kereta dari seluruh Malaysia. – UTUSAN

